Sidang Akhbar Desak Sheila Majid Letak Jawatan

Keputusan Kes Saman Fazura Bakal Diketahui 6 Mei Nanti


6 Mei 2020 ini telah ditetapkan oleh pihak Mahkamah Tinggi berkenaan kes saman pemilik syarikat Maydan Trading terhadap selebriti yang merupakan pelakon Fazura atau nama sebenar Nur Fazura Shariffudin atas dakwaan melanggar kontrak selepas pelakon yang juga penyanyi itu melancarkan produk kesihatan dan kecantikan "Trudolly" dalam tempoh kontrak masih berlangsung.
Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril sepatutnya membuat keputusan itu hari ini, namun ditangguhkan pada 6 Mei berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan.
Perkara itu dimaklumkan oleh  peguam Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Nur Fazura ketika dihubungi Bernama.
Mahkamah sebelum ini mendengar keterangan daripada beberapa saksi termasuk Nur Fazura.
Dalam kes berkenaan, Narhamdan Abd Malek selaku plaintif yang memiliki dan menjual produk kesihatan iaitu ‘candy’ yang boleh dikunyah dikenali sebagai 'Q Tab' untuk kesihatan rambut, kulit dan kuku memfailkan saman pada 16 Disember 2017 di mana Nur Fazura, 37, dan Universal Music Sdn Bhd dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua.
Dalam penyataan tuntutan, plaintif mendakwa pada 10 Ogos 2017 terdapat perjanjian antara beliau dengan Universal Music supaya defendan pertama memasarkan produk 'Q Tab' dalam tempoh enam bulan melalui media sosial, khususnya Instagram milik defendan pertama itu selain defendan pertama perlu mengambil gambar dan video bagi kegunaan plaintif dalam pemasaran produk berkenaan.
Plaintif mendakwa selepas kontrak ditandatangani pada 10 Ogos 2017 untuk perkhidmatan defendan pertama, plaintif telah membayar RM100,000 kepada defendan kedua dan wang RM56,000 turut dibayar pada 24 Ogos tahun sama mengikut syarat yang dipersetujui.
Bagaimanapun, plaintif mendakwa pada akhir September 2017, defendan pertama iaitu Fazura telah melancar dan memasarkan produk kesihatan dan kecantikan berasingan iaitu 'TRUDOLLY 'TruBeauty'  sepanjang tempoh kontrak berkenaan masih berjalan.
Dakwaan pihak plaintif, akibat pelanggaran yang berlaku dalam pemasaran Trudolly oleh Fazura dan Universal Music dalam persaingan dengan produk 'Q Tab', beliau mengalami kerugian apabila pemasaran produknya telah diabaikan dan memihak kepada Trudolly selain mengatakan penjualan produk 'Q Tab' telah mengalami kemerosotan.
Jadi,  tuntutan  pembayaran balik sebanyak  RM156,000 daripada kedua-dua defendan berserta ganti rugi RM141,755.61 telah dibuat oleh pihak syarikat Maydan kerana pelanggaran kontrak, faedah dan kos.
Namun,  dalam penyataan pembelaan difailkan oleh peguam Fazura pada 29 Januari 2018 mendakwa Fazura tidak pernah memasuki apa-apa perjanjian dengan pihak syarikat tersebut, tidak terikat serta tidak mempunyai sebarang kontrak perjanjian dengan pihak syarikat. 
Sumber : Sinar Harian

loading...