Sidang Akhbar Desak Sheila Majid Letak Jawatan

Kaedah Serius Tidak ‘Jalan’ Selebriti Guna Pendekatan Video Lawak Sampaikan Pesanan


Golongan selebriti menggunakan pelbagai pendekatan berbeza bagi menyampaikan pesanan selepas menyedari kaedah serius tidak ‘jalan’ apabila ada segelintir rakyat Malaysia ingkar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasa.
Antaranya, Datuk Hattan, Sabri Yunus, Neelofa dan Fizz Fairuz memilih dialek negeri untuk menasihatkan kepada peminat. Artis serba boleh, Alif Satar pula mencuri tumpuan menggunakan bahasa isyarat, manakala Nabila Huda dan Zulin Aziz memilih medium lawak.
Mereka menyampaikan pesanan dengan gaya tersendiri dalam laman sosial, Instagram (IG), Facebook (FB) dan Twitter sejak PKP dilaksanakan. Walaupun pelbagai usaha dilakukan, namun belum menyedarkan segelintir masyarakat apabila masih banyak kenderaan bergerak atas jalan raya.
“Saya suka berlawak, jadi tidak salah menyuntik elemen lawak dalam menyampaikan mesej. Dalam berhibur, ada maksud tersirat yang ingin disampaikan.
“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan kaedah penyampaian yang ‘catchy’ bagi memastikan rakyat Malaysia mematuhi arahan pada ketika negara berdepan penularan virus COVID-19.
“Video suntingan dibuat dengan pelakon Bollywood seperti Shah Rukh Khan turut diselitkan dengan isu semasa. Begitu juga apabila saya membawakan karakter bercakap loghat utara.
“Saya tidak melihat cara ini menjadi kesalahan, asalkan menjaga sensitiviti dalam berlawak. Pesanan ringan dan santai lebih mudah diterima,” kata kepada BH Online.
Sementara itu, video Datuk Hattan yang tular bercakap loghat Negeri Sembilan turut menarik perhatian. Dalam video yang dimuat naik penyanyi Biso Bonar ke laman FB, Hattan memberi nasihat khususnya kepada penduduk negeri itu yang ingkar perintah PKP dan masih bergerak seolah tiada apa yang berlaku.
Datuk Hattan
“Saya terpanggil bercakap dialek Negeri Sembilan kerana geram masih ramai yang degil dan tidak mengikut perintah.
“Jangan ambil mudah dan berdegil kerana Negeri Sembilan berada dalam zon merah COVID-19. Kasihanilah petugas barisan hadapan. Mereka juga mempunyai keluarga, jadi jangan bersikap mementingkan diri dan keanak-anakan,” katanya memberi nasihat.
Pengarah drama Sanggul Beracun, Sabri Yunus menerusi saluran Rancak TV menasihati masyarakat dengan menggunakan dialek Kelantan.
“Bukan hendak merepek, ramai yang merepek dalam FB. Cuma ingin berpesan, ikutlah arahan kerajaan. Arahan ini bukan suka-suka, jauh sekali mahu menyusahkan rakyat.
“Kerajaan lebih susah kerana terpaksa mengerah petugas barisan hadapan termasuk anggota polis dan askar menjaga kita. Jika patuh dengan sendiri, tidak payah kerajaan menggunakan khidmat mereka.
“Kita berpakat duduk dalam rumah, penat doktor dan jururawat merawat mangsa yang dijangkiti. Bagi mereka yang tidak dijangkiti, pakatlah jaga. Kita tidak tahu macam mana rupa COVID-19, virus ini dunia pun tidak tahu rupanya,” katanya.
Aktres, Nabila Huda memilih menyampaikan pesanan secara sinis. Kedengaran lucu, tetapi nasihat anak penyanyi lagenda, Amy Search itu cukup menusuk kalbu.
“Kawan-kawan yang suka keluar rumah tanpa sebab, tidak mengapa. Abil ingin mengajak anda semua pergi bercuti. Kita ‘check-in’ hospital. Seronok tak? Di hospital, keadaan memang kecoh, jika kita selalu keluar tentulah ada virus.
“Doktor akan ambil darah dengan jarum besar dan memasukkan tiub dalam hidup sampai ke tekak? Adakah anda semua teruja?
“Saya juga ingin berpesan kepada mereka yang suka melanggar perintah, tak mengapa langgar sahaja perintah. Masalah kecil, kita pergi bercuti. Saya tahu semua orang mesti rindu nak bercuti,” kata pelakon Pelakon Wanita Terbaik Drama, Anugerah Skrin Ke-23 dalam video berdurasi 2.28 saat.
Sumber : Berita Harian
loading...