- Get link
- X
- Other Apps
Pernah menetap di sebuah rumah di belakang Masjid Al Noor di Christchurch, New Zealand, Datuk Khadijah Ibrahim, 59, tidak gentar kembali ke bandaraya itu untuk membuka restoran, biarpun tragedi serangan pengganas mencetuskan kebimbangan terhadap nasib umat Islam di sana.
Terkejut bandaraya yang didiami bersama keluarga pada awal 2000 menjadi tumpuan dunia akibat insiden hitam itu, Khadijah yang mesra disapa ibu, segera menghubungi kenalan di Christchurch sebaik berita tembakan rambang menyebabkan berpuluh nyawa umat Islam tidak berdosa, tersebar.
“Apabila mendapat tahu kejadian itu, ibu terus hubungi beberapa kenalan. Penduduk asal Christchurch malu dengan kejadian serangan pengganas biarpun dilakukan orang luar.
“Masyarakat di bandaraya itu sangat ramah dan baik sehinggakan boleh jemput jiran tetangga datang ke rumah minum teh. Apabila mendapat tahu mengenai insiden serangan itu, ibu sangat terkejut.... Tak sangka sebuah negara yang aman dan harmoni boleh jadi begini,” katanya kepada BH Online.
Pada 2002, Khadijah membuka restoran di Christchurch dan menetap di New Zealand untuk beberapa tahun bagi mengembangkan perniagaan.
Masih menjalin hubungan baik dengan teman-teman di Christchurch, Khadijah berkata, beliau masih berhajat membuka restoran di bandaraya itu bersama anak-anaknya, tahun depan.
Malah, Khadijah berhasrat membuat tinjauan di Christchurch bagi memilih lokasi sesuai untuk perniagaannya. Beliau juga mahu kembali menetap di rumah yang pernah didiaminya, iaitu di belakang Masjid Al Noor.
“Dulu, rumah ibu terletak di belakang Masjid Al Noor... Di sana mudah untuk mendapatkan barangan halal bagi masyarakat minoriti muslim.
“Perancangan untuk pulang ke Christchurch sudah lama... Anak-anak pun bertanya bila kita hendak kembali ke New Zealand.
“Insya-Allah, tahun depan ibu akan ke sana untuk melihat lokasi yang sesuai bagi membuka restoran secara kecil-kecilan,” katanya.
Tidak menjadikan insiden serangan pengganas sebagai pematah semangat untuk kembali ke New Zealand, sikap baik penduduk tempatan mendorong dirinya kembali ke sana.
“Hubungan ibu dengan penduduk Christchurch masih baik. Kami berhubung setiap dua atau tiga minggu untuk bertanya khabar. Kalau mereka tidak baik, ibu tidak akan membenarkan anak-anak tinggal di sana.
“Kalau hendak dibandingkan dengan masyarakat di negara lain, penduduk New Zealand sangat baik dan saling membantu walaupun kita orang luar,” katanya.
Sumber: Berita Harian
loading...