- Get link
- X
- Other Apps
MENGIMBAU sejarah merpati dua sejoli itu, bukan kepalang rintangan yang dihadapi demi membina sebuah masjid yang kini telah mencecah usia tujuh tahun lamanya.
Mengikat sumpah sebagai pasangan suami isteri tatkala kedua-dua mereka masih hijau pada usia 20-an, sementelah masih merangkak membina nama dalam industri, tindakan mengejut tersebut hampir membunuh kerjaya mereka.
Namun, berbekalkan kepercayaan, sokongan keluarga dan ikatan ikhlas yang dijalinkan atas cinta suci anugerah Allah, pasangan yang mendirikan rumah tangga sekitar Februari 2012 itu kini dianggap pasangan romantis dalam kalangan anak seni.
Meniti kehidupan berpasangan, nakhoda yang diterajui Aeril Zafrel dan isteri, Wawa Zainal jarang dilanda badai.
Setia menjaga dua anugerah Tuhan iaitu Ahmad Fakharuddin Attar dan Hayla Maghfirahtul Adzkiyaa masing-masing berusia enam dan empat tahun, Aeril menzahirkan, tiada perkataan menggambarkan fasa kebahagiaan yang dikecapi mereka.
Menadah tangan sambil menundukkan wajah sebagai tanda syukur, pemilik nama sebenar Suhairil Sunari, 31, tanpa henti mengungkapkan kalimah puja-puji kepada Tuhan atas usia perkahwinan mereka.
“Jujur sepanjang tujuh tahun kami hidup bersama, kami tidak pernah dilanda masalah yang besar. Saya tidak tahu bagaimana perasaan dia (Wawa) sepanjang tujuh tahun kami bersama.
“Namun bagi saya, selama tujuh tahun hidup di sisinya, saya bahagia,” ujar pelakon yang kini beraksi menerusi drama rantaian TV3 bertajuk Cinta Tanpa Henti.
Rahsia
Sambil matanya melirik manja ke arah Wawa yang manis mengenakan persalinan hijab berwarna biru dan blaus putih pada pagi tempoh hari, Aeril berkata, kunci kebahagiaan mereka ialah tiada rahsia.
Mengakui adakalanya rumah tangga mereka berdepan momen gelap, tetapi setiap pasangan perlu bijak memperbaiki hubungan supaya setiap perselisihan faham itu tidak berpanjangan.
“Hubungan antara pasangan hanya mampu bertahan sekiranya tiada rahsia antara mereka. Dia tahu semua mengenai saya termasuk kata kunci telefon sehingga perbualan dalam WhatsApp. Tiada perkara yang ingin kami sembunyikan antara satu sama lain.
“Jangan sesekali hilangkan kepercayaan itu dalam diri antara setiap pasangan anda,” kongsinya.
Biarpun begitu, pelakon yang juga usahawan kosmetik dan fesyen itu berkata, resmi bergelar lelaki pasti gagal mengelak daripada mempunyai ego tinggi.
Bagaimanapun, ketika ego menguasai diri, Aeril sering membayangkan wajah pasangan cahaya mata mereka untuk kembali menjernihkan keadaan.
“Kami hanya manusia biasa begitu juga kehidupan sebagai pasangan. Kalau marah, saya akan diam. Pada kebiasaannya, antara kami telah faham dengan peribadi masing-masing,” katanya yang tidak kekok memegang erat tangan Wawa sepanjang wawancara.
Baharu sahaja menyambut ulang tahun ke-28 pada 12 Mac lalu, tanpa hadiah yang berharga daripada suami, sambutan hari jadi Wawa sebaliknya dirai dengan ikat ikrar.
Berjanji untuk hidup saling melengkapi, Wawa menyifatkan kehadiran Aeril sebagai ketentuan Allah yang paling tepat sepanjang mengharungi kehidupan bergelar isteri.
Penyabar
Menyifatkan Aeril sebagai seorang lelaki sempurna, susuk itu juga diyakini mampu membimbing diri dan keluarga ke syurga.
“Saya bersyukur dikurniakan seorang suami yang penyabar,” luahnya yang tiba-tiba menghentikan kata-kata sambil memandang tepat ke mata Aeril.
Membuat pengakuan terbuka, pemilik nama sebenar Nur Hawa Zainal Abidin berkata, berkahwin pada usia muda memberi tamparan hebat buat dirinya.
Mengharungi fasa awal perkahwinan, Wawa tanpa berselindung menyifatkan dirinya sebagai seorang isteri yang gemar memberontak sementelah usia yang belum matang.
“Apabila berkahwin pada usia muda, saya belajar untuk tidak membesarkan perkara yang remeh. Pada usia begitu, wanita terdorong untuk memberontak dan bersifat kasar.
“Setelah beberapa tahun, saya sedar semua perkara itu hanya menyekat rezeki. Alhamdulillah selepas tiada lagi perbalahan dan pergaduhan, rezeki keluarga kami umpama air yang mengalir,” kongsinya.
Menyentuh mengenai rezeki, Wawa berkata, sudah tiba masanya bahtera kecil mereka diserikan dengan kehadiran ahli keluarga baharu.
Pengakuan Wawa yang membuatkan mata Aeril terbeliak seketika, membuatkan Wawa pantas menyokong hasratnya.
“Saya berharap untuk tambah anak. Tetapi sehingga kini tiada rezeki. Saya tidak pernah merancang dan akan terus berusaha,” kata Wawa seraya menepuk manja paha suaminya.
Selain merindui proses kehamilan, pemegang trofi Artis Baharu Wanita Popular Anugerah Bintang Popular (ABP) 2012 itu juga menyatakan hasrat untuk kembali berlakon.
Kali terakhir menjayakan drama bersiri Duda Terlajak Laris sekitar tiga tahun lalu, dia masih menanti tawaran yang mencabar kredibiliti lakonannya.
“Suami tidak menghalang atau menyuruh saya berhenti daripada berlakon. Setelah lama berehat, saya rindu untuk kembali ke set penggambaran. Tawaran ada, tetapi tidak memenuhi watak yang saya impikan,” jelasnya.
Kalendar suku tahun 2019 pula menyaksikan pasangan ini dilantik menjadi wajah promosi produk penjagaan mulut, Systema menerusi kempen GumBatte.
Menggunakan pengaruh sebagai selebriti, pasangan itu membantu kempen tersebut dengan menyasarkan penglibatan satu juta rakyat Malaysia melakukan pemeriksaan oral.
“Menerusi kempen GumBatte, Systema menyasarkan penglibatan rakyat Malaysia terhadap pemeriksaan oral menerusi pautan gumhealcheck.com. Kami akan membantu mempromosikan kempen ini di semua platform media berkaitan,” kata Aeril.
Perniagaan
Selain pelantikan wajah kempen, berkongsi perniagaan menerusi koleksi fesyen bawah jenama wawazainalrtw dan Lima Waktu serta rangkaian kosmetik jenama Wawa, mereka optimis memperkenalkan produk baharu berupa makanan kesihatan dalam tempoh terdekat.
Terang Aeril, produk makanan kesihatan berasaskan madu dan campuran pelbagai herba yang diimport khas dari Turki tersebut dijamin berkualiti tinggi. Produk berkenaan juga mengambil tempoh selama enam bulan untuk proses kajian dan pembangunan produk.
“Saya secara peribadi telah menggunakan produk ini dan tahu kesannya terhadap wanita dan lelaki. Insya-Allah produk yang mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini akan menemui pelanggan dalam masa terdekat.
“Ramai berpendapat lebih baik saya mengambil produk tempatan kerana dari sudut kos, akan lebih jimat. Namun, keberanian saya didorong oleh keberkesanan produk ini yang mempunyai pelbagai manfaat,” dedahnya.
Tambah Aeril, sekiranya memasuki pasaran tempatan seperti dirancang, produk tersebut akan dipasarkan pada harga sekitar RM100.
Dalam perkembangan berkaitan, bertepatan dengan penglibatan lebih sedekad mereka dalam industri, Aeriel bersedia untuk terjun dalam bidang penerbitan.
Mengimpikan untuk memiliki sebuah rumah produksi sendiri, impian tersebut merupakan sebahagian cita-citanya sepanjang bergiat aktif dalam arena seni
“Sudah tiba masanya saya ke depan dalam industri ini dan tidak terikat sebagai pelakon semata-mata. Kami sedang merancang untuk membangunkan sebuah produksi.
“Insya-Allah sekiranya segalanya terlaksana seperti yang dirancang, Wawa akan jadi orang pertama berlakon bawah produksi itu kelak,” selorohnya.
Pasangan romantis atau 'sweet couple’, demikian label peminat terhadap dua jiwa bernama Aeril Zafrel dan Wawa Zainal setelah tujuh tahun melayari bahtera hidup bersama.
Sumber : Kosmo!
loading...