Sidang Akhbar Desak Sheila Majid Letak Jawatan

Minyak Wangi Rosak, Pasangan Awal dan Scha Dapat Ganti Rugi RM345,305


Pasangan selebriti, Awal Ashaari dan isterinya, Scha Al-Yahya mendapat ganti rugi berjumlah RM345,305 selepas berjaya dalam tuntutan saman terhadap syarikat D’Haja (M) Sdn Bhd berhubung pengedaran dan penjualan eksklusif minyak wangi mereka.
Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan syarikat pengedar itu membayar ganti rugi berkenaan selepas ia didapati melanggar perjanjian berhubung pengedaran minyak wangi jenama Bleu dan Maroon milik pasangan terbabit.
Hakim Shamsudin Abdullah memerintahkan D’Haja selaku defendan membayar ganti rugi itu selepas membenarkan tuntutan saman pelanggaran kontrak yang difailkan Awal dan Scha yang bertindak sebagai plaintif.
Hakim membenarkan tuntutan saman berkenaan selepas mendapati D’Haja gagal melaksanakan tanggungjawabya kerana gagal memastikan 20,000 botol minyak wangi plaintif berada dalam keadaan baik untuk diniagakan.
Mahkamah juga berpuas hati melalui imbangan kebarangkalian bahawa syarikat terbabit memungkiri perjanjian apabila gagal dalam tanggungjawab untuk menjaga reputasi Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari dan Scha, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir.
Selain itu, mahkamah turut memerintahkan defendan membayar faedah sebanyak lima peratus, ganti rugi am RM10,000 dan kos sebanyak RM5,000.
Dalam penghakimannya, Hakim Shamsudin berkata, syarikat D’Haja menerima daripada syarikat Eree International Sdn Bhd, sejumlah 20,000 botol minyak wangi dalam keadaan baik dan teratur.

Hakim berkata, syarikat D’Haja melanggar terma apabila gagal memastikan minyak wangi berada dalam keadaan baik dan teratur.
Katanya, kegagalan itu menyebabkan Awal dan Scha mengalami kerugian kos pengeluaran, pemasaran, pelancaran dan kehilangan keuntungan minyak wangi itu.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan tuntutan balas D’Haja dan memerintahkan Awal dan Scha membayar RM55,000 kepada defendan selepas mendapati plaintif memungkiri perjanjian dengan menjual sendiri minyak wangi itu ke Brunei.
Dalam tuntutan saman itu, plaintif mendakwa memasuki kontrak perjanjian pengedaran eksklusif minyak wangi Bleu dan Maroon dengan pembekal tekstil, D’Haja pada 11 Oktober 2016 selama dua tahun sehingga 10 Oktober lalu.
Kedua-dua plaintif bagaimanapun mendakwa, D’Haja gagal melaksanakan tanggungjawabnya selaras dengan terma asas perjanjian selain gagal memulangkan 3,215 botol minyak wangi yang dikatakan rosak, gagal menyediakan rekod transaksi jualan dan enggan membayar tuntutan kerugian itu.
Sehubungan itu, mereka menuntut sejumlah RM345,305 berserta faedah pada kadar lima peratus dari tarikh memfailkan tuntutan sehingga pembayaran penuh dan ganti rugi am.
Sumber : Berita Harian
loading...