Sidang Akhbar Desak Sheila Majid Letak Jawatan

Konsert DS Siti Nurhaliza di London Belum Muktamad


Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menutup tirai siri jelajah di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi, mengesahkan persembahan di Royal Albert Hall, London, United Kingdom (UK) yang dirancang pada 22 April depan, belum muktamad.
Siti memberitahu, beliau masih menunggu kata putus daripada Shiraz Projects, iaitu penganjur Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour 2019 berhubung persembahan di London.
“Selagi pihak penganjur tidak memberi sebarang maklum balas, saya tak boleh komen. Kena tunggu pengumuman daripada mereka,” katanya pada majlis sambutan hari lahir pertama anaknya, Siti Aafiyah Khalid di sebuah hotel di sini, hari ini.
Turut hadir, suami Siti, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
Ketika pengumuman siri jelajah penyanyi Cindai itu, London disenaraikan lokasi keempat Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour 2019 selepas Jakarta, Indonesia, Singapura dan Kuala Lumpur.
Siti bagaimanapun berharap rancangan membuat persembahan di London dapat direalisasikan.
“Kalau tidak dibuat bulan depan sekali pun, kita boleh teruskan pada bulan lain.
“Andai konsert di London tidak direalisasikan penganjur, kita percaya, persembahan masih boleh diteruskan dengan pelbagai cara atau melalui syarikat lain,” katanya.
Tambah Siti, syarikat miliknya, Siti Nurhaliza Productions sentiasa mencari ruang dan peluang untuk mengulangi momen indah di Royal Albert Hall pada 1 April 2005.
Malah, Siti memasang impian menganjurkan konsert di bandaraya dunia lain.
“Kalau ada peluang pergi ke ibu kota selain London, kami juga teringin mengintai peluang,” katanya.
Sementara itu, mengenai sambutan hari lahir Siti Aafiyah yang diraikan dua hari lebih awal, Siti mengaku merancangnya begitu.
“Kebetulan hari lahir Aafiyah jatuh pada hari bekerja iaitu Selasa ini. Suami juga bersetuju meraikannya lebih awal, jadi kita pilih hari ini biarpun baru malam tadi saya mengadakan konsert.
“Penat memanglah, tapi tidak mengapa demi Aafiyah,” katanya.
Sambutan hari lahir Siti Aafiyah yang bertemakan karnival turut dihadiri rakan artis seperti Rozita Che Wan, Amyra Rosli, Fouziah Gous, Fizo Omar dan ramai lagi.
Sumber : Berita Harian
loading...